header EN031019

Perkhidmatan Bernilai Komitmen Kami

 

 

1Membeli rumah semudah ABC

 Membeli rumah

Pengarang   : Dr. Mona Isa           

Imprint           : Kuala Lumpur : TrueWealth , 2017 

Mukasurat    : 145 

Sinopsis :

Prosedur membeli rumah agak memeningkan bagi ramai orang. Hal ini demikian kerana pembeli perlu berurusan dengan terlalu banyak pihak iaitu penjual, ejen harta tanah, peguam dan pegawai bank. Tambah memeningkan apabila pihak berkenaan menggunakan ‘bahasa mereka’ yang terlalu teknikal menjadikan keseluruhan proses menjadi sukar. Buku ini memberi penyelesaian kepada semua masalah ini.

Buku ini memperincikan:

  • Bila masa sesuai membeli rumah?  Strategi orang bijak membeli rumah;
  • Jenis-jenis rumah dan perbelanjaannya (outgoings);
  • Kategori pasaran harta kediaman;
  • Mengapa harga rumah meningkat mendadak?;
  • Cara mudah membeli rumah daripada pemaju, pasaran sekunder dan rumah lelong;
  • Prosedur membeli rumah terus daripada pemilik atau ejen harta tanah berdaftar;
  • Jangan berurusan dengan broker haram; dan
  • Apakah kos-kos yang mengiringi pembelian rumah;
  • Bagaimana mahu lulus pinjaman bank dengan bergaya;
  • Strategi-strategi yang betul apabila ingin meminjam dengan bank;
  • Bagaimana untuk memiliki 4 buah rumah dengan margin 90%;
  • Urusan guaman dengan terma-terma biasa di dalam perjanjian jual beli rumah;

10 kesilapan utama pembeli rumah yang perlu anda elakkan.

 

2. Pengenalan Kaedah Penyelidikan Islam : Gagasan & Amalan

Gagasan & Amalan

Pengarang   : Noor Hisham Md Nawi            

Imprint           : Kota Bharu :  Penerbit UMK, 2018

Muka surat   : 207 

Sinopsis :

Buku ini merupakan sebahagian daripada usaha serius untuk menghapuskan krisis dualisme dan sekularisme pendidikan yang telah meresap masuk ke dalam bidang penyelidikan.  Golongan agamawan mempunyai sistem penyelidikan tersendiri dengan menjadikan Al-quran dan Sunnah sebagai asas rujukan.  Manakala golongan profesional dalam pelbagai displin ilmu aqli mempunyai pelbagai kaedah penyelidikan berasaskan pendekatan saintifik.  Destinasi dan hala tuju penyelidikan kedua-dua bidang ini kelihatan terpisah dan tidak mempunyai titik temu yang jelas. Ini menjadikan konsep kebenaran yang dicari dalam aktiviti penyelidikan dan pendidikan secara keseluruhannya tidak saling melengkapi bahkan semakin mengelirukan.    Diharapkan buku ini dapat memberi sumbangan bermakna kepada para pembaca untuk memahami konsep dan kaedah penyelidikan Islam dan hubungannya dengan sistem pendidikan secara keseluruhan.  Kefahaman yang tepat mengenai konsep penyelidikan Islam akan menjadikan kita lebih menghargai ilmu dan kehidupan, permasalahan dan kebenaran serta kepentingan membina budaya penyelidikan sejati dalam diri dan masyarakat.

3Pengurusan Penyelenggaraan dan Pengubahsuaian Bangunan

Pengurusan Penyelenggaraan

Pengarang   : Anuar Alias

Imprint           : Batu Pahat : Penerbit UTHM, 2011

Muka surat   : 175 

Sinopsis :

Pengurusan Bangunan merupakan satu bidang kerja yang akan bermula ketika bangunan itu mula dibina dan hanya tamat setelah bangunan itu dirobohkan. Selagi bangunan itu berdiri tersergam, khidmat pengurusan bangunan adalah mustahak bagi memastikan khidmat asas yang diperlukan oleh penghuni diberikan dengan sempurna. Konsep pengurusan yang diasaskan 20 atau 30 tahun yang lalu merupakan satu asas untuk membina satu konsep pengurusan yang sesuai dan selari dengan harapan tinggi dari pihak pengguna masa kini. Oleh itu, konsep pengurusan bangunan iaitu selenggara seadanya (maintain as it is) hanya merupakan retorik kerana selera penghuni bangunan pada era millennium adalah unik, fokus dan canggih. Ini selaras dengan perkembangan teknologi dan aliran pengetahuan yang lebih berteknologi tinggi. Satu sistem perancangan penyelenggaraan terbaik adalah mustahak untuk menentukan kos pengurusan dan pembaikan adalah minima, kadar sewa berpatutan, keselesaan dan keselamatan penghuni di tahap yang tinggi, nilai bangunan stabil atau meningkat dan jangka hayat bangunan dapat dipanjangkan. Buku ini amnya lebih berteraskan amalan praktikal berbanding teori, dan diharap dapat menyumbang kepada perkembangan bidang pengurusan penyelenggaraan dan pengubahsuaian bangunan di Malaysia.

4. Pengurusan Pusaka Islam di Malaysia : Teori dan Pengiraan

Pengurusan Pusaka

Pengarang   :   Nasri Naiimi

Imprint           :   Sintok : Penerbit UUM, 2016

Muka surat   :   224  

Sinopsis :

Buku Pengurusan Pusaka Islam di Malaysia: Teori dan Pengiraan ini merupakan sebuah buku berkaitan cara pembahagian harta pusaka berserta dengan kadar nilaian bagi setiap waris. Selain memberi pemahaman tentang hukum fiqah berkaitan harta pusaka dalam Islam, buku ini turut menerangkan kaedah pengiraan yang dilaksanakan secara hukum syarak. Aspek kaedah pengiraan dalam membahagikan harta pusaka berdasarkan hukum syarak ditekankan dalam buku ini. Kaedah tersebut pula dirujuk dengan bentuk-bentuk pengiraan yang lazim digunakan dalam pembahagian harta pusaka Islam secara kuantitatif bagi menyelesaikan permasalahan hukum fiqah yang berkaitan. Buku ini juga memfokuskan kepada situasi, fakta dan contoh kes-kes realiti yang berlaku di negara ini dengan teliti khususnya dari sudut fiqah berkaitan faraid. Kelebihan yang ada pada buku ini memudahkan pembaca memahami teori melalui kaedah pengiraan khususnya dalam kaedah munasakhah. Pembaca secara tidak langsung dapat memahami ilmu pengiraan harta faraid dengan bantuan buku ini.

5. Fundamentals of Financial Accounting 2nd Edition

Fundamentals

Pengarang   : Mohd Nizal Haniff             

Imprint          : Petaling Jaya : Oxford Fajar , 2018 

Mukasurat    : 385

Sinopsis :

This second edition is a comprehensive book catered for accounting and business students pursuing Financial Accounting courses at diploma and degree levels. Spanning 13 chapters, the book starts off with an introductory chapter on accounting that provides students with some background knowledge on the development of the accounting field and the various branches of the field, among others. A thorough discussion of accounting frameworks and theories, particularly those related to the local context, is then presented. The subsequent chapters cover the application of the frameworks and theories for various practical situations. The book concludes with a section on accounting simulations to prepare students for the real world of accounting.

6. Asas Keusahawanan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana

Asas Keusahawanan Mikro

Pengarang   : Abdul Azizi Ab, Latif               

Imprint          : Kota Bahru : Penerbit  UMK , 2018 

Mukasurat    :  211  

Sinopsis:

Semua aspek penting dalam asas keusahawanan dan pengurusan perniagaan dibahagikan kepada 13 bab dalam buku ini. Peranan usahawan di Malaysia sangat besar dalam membantu perkembangan dan kemajuan ekonomi Malaysia. Sejajar dengan peranan yang dimainkan oleh usahawan, “Asas Keusahawanan: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana” dapat memberi panduan dan kemahiran kepada mahasiswa yang ingin menceburi bidang keusahawanan. Buku ini sesuai digunakan oleh para usahawan, peniaga dan pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

7. Bijak Melabur : Selok Belok Pelaburan Saham    

Bijak Melabur

Pengarang   : Razali Razman             

Imprint          : Kuala Lumpur :  True Wealth  , 2014 

Mukasurat    : 235  

Sinopsis :

Ramai pelabur yang melabur dalam pasaran saham tidak membuat sebarang penyelidikan sebelum membeli saham. Mereka mendengar nasihat broker, saudara-mara atau bisikan khabar angin daripada rakan-rakan tanpa menyiasat kesahihannya. Mereka tidak sedar bahawa pelaburan sebegini mengundang risiko. Ramai orang sanggup meluangkan banyak masa membandingkan harga dan kualiti barangan di pasar raya. Namun apabila membeli saham, mereka malas untuk membuat penilaian dan analisis sewajarnya.

Antara aspek yang boleh dipelajari adalah:

  • Membuat persediaan sebelum melabur;
  • Mendapat sumber maklumat berguna untuk membuat penilaian;
  • Memilih dan menilai saham;
  • Menentukan harga dan masa paling sesuai untuk membeli;
  • Membuat keputusan untuk menjual saham;
  • Mempelbagaikan pelaburan; dan
  • Membuat portfolio saham dan aset anda.

Hasil penulisan seorang pakar dalam bidang kewangan dan pelaburan. Sarat dengan maklumat yang meliputi teknik dan kaedah yang dapat membantu di dalam selok belok dunia pelaburan, terutama tentang bagaimana untuk meminimumkan risiko kerugian. Tiada sebarang tip menjadi seorang jutawan diberikan di dalam buku ini. Hanyalah perincian tentang ilmu kewangan dan pelaburan yang dapat membawa anda ke landasan yang tepat ke arah menjadi seorang jutawan.

8.Wang Anda Di Mana?

Wang Anda Di mana

Pengarang   : Azizul Azli Ahmad             

Imprint           : Perak :  Rumah Buku , 2015

Muka surat   : 146

Sinopsis :

Buku ini tentang pengurusan kewangan yang bukan biasa-biasa. Jika hati tisu tak digalakkan membaca buku ini, ia pedas dan sentap buat jiwa kita mudah terluka. Bacaan wajib bagi graduan mula kerja, gadis kerja pertama dan kita yang sering gagal urus gaji patut letak di mana. Tips dan panduan ringkas serta praktikal buat kita yang duit selalu hilang entah kemana mana.

Menghabiskan wang sebenarnya tidak sukar, ia tidak memerlukan tahap pencapaian matematik yang tinggi. Jika anda faham campur, tolak, darab dan bahagi, ia telah memadai. Prinsip paling asas dalam menguruskan wang adalah belanja kurang dari pendapatan. Jika prinsip ini anda gagal genggam, anda akan hanyut jauh ke dalam kesusahan.

Kita tidak pernah diberikan pendidikan kewangan. Yang kita tahu, belajar rajin-rajin hingga pandai dapat kerja baik, gaji mesti besar dan belilah apa saja. Konsep kejayaan pada kita adalah apa yang kita beli dan pakai. Semakin besar kereta dan kediaman, kita semakin berjaya. Maka ramai anak muda yang berlumba-lumba untuk 'berjaya'.

9. 7 Langkah Menjana Pendapatan Melalui You Tube  

7 Langkah Jana Pendapatan

Pengarang   : Hisham Fauzi              

Imprint          : Kuala Lumpur : Truewealth , 2015 

Mukasurat    : 177  

Sinopsis:

Buku ini akan mengupas cara-cara menjalankan perniagaan Internet menggunakan YouTube. Pembaca dapat mengetahui rahsia yang disimpan oleh usahawan perniagaan Internet tentang bagaimana mereka berjaya menjana pendapatan ribuan ringgit menggunakan YouTube. Selain itu, buku ini juga menyingkap rahsia serta pelbagai teknik bagi membantu dalam menjana pendapatan.

Antara topik yang boleh dipelajari adalah :

  • 7 langkah penting untuk menjalankan perniagaan Internet menggunakan YouTube;
  • Bagaimana membuat video tanpa merakam gambar dan suara anda;
  • Bagaimana menjalankan perniagaan Internet tanpa pekerja;
  • Bagaimana mencari produk atau perkhidmatan terlaris;
  • Bagaimana mendapatkan keuntungan berganda;
  • Bagaimana meningkatkan motivasi anda untuk berjaya;
  • Jenis-jenis produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di YouTube; dan

Keberkesanan menggunakan video berbanding cara lain dalam perniagaan.

10. Nota Pasca Haji

Nota Pasca Haji

Pengarang   : Roza Roslan            

Imprint          : Petaling Jaya :  Geleri Ilmu , 2018

Muka surat   : 215

Sinopsis :

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, “Sesungguhnya Rasulullah bersabda, ‘Umrah ke satu umrah lainnya adalah penebus dosa di antara keduanya, dan haji yang mabrur tidak ada pahala baginya selain syurga’.” (Riwayat Bukhari)

Ibadat haji wajib dilakukan hanya sekali seumur hidup. Itu pun jika mampu. Lalu haji mabrur menjadi impian dan harapan setiap jemaah. Tiada balasan melainkan syurga.

Anugerah ini bersyarat. Ia perlu dirancang dan diusahakan. Malangnya tidak ramai yang bergelar ‘Haji’ dan ‘Hajah’ berjaya mengekalkan haji mabrur hingga akhir hayat.

Ada yang gagal sebaik sahaja pulang ke tanah air. Lihat sekitar. Sudah ada yang ‘tidak solat berjemaah di masjid’ bagi Si Haji dan ‘tidak menjaga aurat’ bagi Si Hajah. Ini bukan perwatakan dan akhlak bakal ahli syurga. Jika di Tanah Suci, segala-galanya terpelihara, mengapa pulang ke tanah air kembali kepada watak asal?
Sangatlah rugi jika haji mabrur tidak dipertahankan kerana bagi kebanyakan orang peluang menunaikan haji hanya datang sekali.