header EN031019 

Perkhidmatan Bernilai Komitmen Kami

 

 

 

 

 

 

 

 

1.Bajet Power

Bajet Power

 

 

Pengarang  :  Harith Faisal          

Imprint  :  Petaling Jaya  :  Galeri Ilmu Sdn Bhd. 2017 

Mukasurat :  225 ms 

Sinopsis:

Sebaik sahaja mendapat gaji pertama, pelbagai keinginan muncul di kepala. Maklumlah teruja kerana pertama kali memegang duit hasil titik peluh sendiri. Andai ketika itu kita tersilap langkah mengatur bajet bulanan, pasti ia akan memberi kesan kepada kewangan kita. Jadi, sebagai anak muda yang sangat berwawasan, kita kena bijak dalam mengatur dan merancang kewangan masing-masing. Tanpa mengira sama ada bergaji besar atau kecil, semua kita boleh mulakannya. Ia lebih kepada bagaimana kita menyusun kewangan kita.

Tip yang paling utama, mulakan menabung. Jangan tunggu ada duit lebih baru menabung, tapi simpan dulu, selebihnya baru belanja. Pelbagai lagi tip dan panduan yang terkandung dalam buku ini yang boleh menjadi inspirasi kepada anak muda khususnya. Buku ini ditulis secara santai, sentap dan sempoi untuk semua anak muda yang sedang mencari hala tuju kewangan, pelaburan dan kehidupan yang lebih baik. Ia berdasarkan pengalaman penulis dalam bidang perbankan, pengurusan kewangan dan pelaburan hartanah.   

Anda perlu memiliki buku ini jika:

  • Baru mula bekerja.
  • Ingin mengurus kewangan ke arah yang lebih baik.
  • Mahu kahwin tapi belum ada simpanan.
  • Belum sempat nak menabung, gaji sudah habis.
  • Mahu beli rumah tapi tak pernah ada tabungan.
  • Mahu belajar cara mengembangkan simpanan.
  • Risau terjebak dengan dosa kewangan.
  • Mahu bebas hutang.

Ingin pelaburan untuk jaminan hari tua.

2. WTF? 23 properties by 30

 WTF

Pengarang : Faizul Ridzuan          

Imprint  : Shah Alam : Faizul Ridzuan,  2012 

Mukasurat : 157 ms 

Sinopsis:

Buku karangan Faizul Ridzuan ini mengisahkan seorang pemuda biasa yang mempunyai kepakaran dalam bidang pelaburan harta tanah. Menariknya, beliau bukanlah berasal dari keluarga kaya. Malahan ketika beliau memasuki bidang pelaburan harta tanah ini, beliau sebenarnya adalah seorang pekerja biasa namun berjaya mengumpul aset harta tanah sehingga 23 buah unit harta tanah ketika umur beliau belum mencecah 30 tahun. Ia memang merupakan pencapaian yang menakjubkan kerana bukan mudah untuk membeli harta tanah dan mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda melaluinya. Semua pembelian ini dilakukan dalam masa hanya 5 tahun. Beliau juga memulakan pelaburan beliau TANPA mengeluarkan duit sendiri di mana dengan bijaknya beliau memanipulasi produk kewangan yang ada di Malaysia ketika gajinya hanya RM3,000 sahaja. Buku ini ditulis dengan gaya santai dan senang difahami.

3.Dairi hartanah

Diari Harta Tanah

Pengarang :  Adlina MN        

Imprint :  Kajang  :  AMN Media Creative, 2020

Mukasurat : 156 ms 

Sinopsis :

Adlina MN, 35, berasal dari Kota Bharu Kelantan dan sekarang menetap di Kajang, Selangor adalah seorang pelabur hartanah yang mempunyai pengalaman lebih 11 tahun dalam segmen hartanah terutamanya tanah lelong. Buku ini mengandungi nota-nota hartanah peribadi, pengalaman jatuh bangun dalam hartanah, strategi peribadi dalam pelaburan, sewaan, pemilihan kawasan & bidaan hartanah lelong.


Kesemua nota dan strategi peribadi adalah hasil pengalaman sendiri miliknya yang dicatat dan dibukukan untuk manfaat semua pembaca. Pengetahuan dan tafsiran umum sesetengah istilah dalam hartanah dan financing juga ada dimasukkan. Sesuai untuk yang baru nak berjinak-jinak dalam pelaburan hartanah.


Semoga buku ini dapat memberi idea dan mencetuskan inspirasi buat semua yang berminat untuk melangkah jauh dalam pelaburan hartanah.

4.Checkmate 101 soalan yang anda perlu tanya peguam sebelum beli hartanah

Checkmate

Pengarang :  Ahmad Firdaus Mahmod        

Imprint : Shah Alam :  Saudagar Hartanah,  2012 

Mukasurat : 136 ms  

Sinopsis :

Buku ini adalah hasil pengalaman penulis dalam menjawab pelbagai persoalan yang sering ditanya oleh klien kepada Perunding Hartanah dan Peguam Hartanah. Buku ini menghimpunkan persoalan yang menjadi perbincangan umum dalam transaksi jual beli
hartanah.  Buku ini juga adalah sebagai panduan asas beberapa proses yang akan dilalui oleh penjual dan pembeli hartanah. Melalui pengalaman penulis dalam bidang hartanah, ramai yang ingin membeli atau menjual hartanah mereka. Namun, mereka tidak begitu faham proses transaksi jual beli dan bagaimana perunding hartanah dan peguam berperanan dalam menguruskan semua transaksi jual beli sehingga pembeli dapat memiliki hartanah tersebut dan penjual memperolehi duit keuntungan dari proses jual beli yang dijalankan


Pembeli dan penjual mempunyai andaian dan tanggapan mereka sendiri mengenai proses jual beli hartanah. Kebanyakan informasi mereka perolehi dari intemet atau kawan-kawan. Informasi yang mereka perolehi adalah benar, namun mereka perlukan pihak ketiga seperti Perunding Hartanah dan Peguam Hartanah untuk merungkai persoalan yang tersimpul dibenak fikiran mereka. Tiada istilah standard dalam pengurusan transaksi jual beli.  Setiap kes yang berlaku, sudah pasti mempunyai proses dan cabaran yang tersendiri.


Seringkali kita mendengar cerita-cerita ngeri dalam proses jual beli hartanah. Ada kes
dimana transaksi jual beli mengambil masa yang bertahun-tahun untuk diselesaikan. Ada juga kes yang sampai kesudah proses masih belum selesai. Ada penjual yang menjual hartanah mereka, sehingga kini masih ternanti-nanti untuk mendapat duit keuntungan
dari hasil jualan hartanah mereka. Ada juga pembeli dan penjual yang ditipu kerana
mendapat khidmat nasihat dari individu yang salah atau yang mempunyai agenda
tersendiri.  Kombinasi Perunding Hartanah dan Peguam Hartanah ini menjadikan adunan yang terbaik dalam penghasilan buku ini.

5.Hipster hartanah

Hipster Harta Tanah

Pengarang :   Harith Faisal       

Imprint       :  Petaling Jaya :  Galeri Ilmu, 2017 

Mukasurat :   224 ms  

Sinopsis :

Buku ini ditulis oleh seorang pengarang yang berpengalaman dalam bidang hartanah serta aktif berkongsi ilmu dengan anak muda tentang pelaburan hartanah, pengurusan kewangan dan motivasi kehidupan. Sasaran penulis ialah untuk anak muda yang baru memulakan kehidupan selepas graduan.

Penulis menulis buku ini untuk tujuan yang sama, dikarang khas untuk anak muda yang sedang mencari hala tuju kewangan dan kehidupan yang lebih baik. Buku ini sesuai dibaca oleh pelajar sekolah, pelajar matrikulasi, pelajar asasi, pelajar universiti dan graduan baru.

Penulis memberi panduan dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk membeli rumah bermula dari menetapkan matlamat, kategori rumah yang hendak dibeli, punca kewangan dan perundangan. Penulis menekankan juga bagaimana untuk menabung bagi mendapat wang untuk membayar deposit rumah yang hendak dibeli.

Akhirnya, selepas membaca buku ini kita akan belajar cara yang betul untuk mendapat keuntungan daripada pembelian dan pelaburan hartanah.

6.Mauizhah Hasanah 2 : Teman di Barzakh Penempatan Para Roh

Teman Barzakh

Pengarang  :  Ahmad Dasuki Abd. Rani           

Imprint        : Petaling Jaya  :  Galeri Ilmu, 2017

Muka surat :  245 ms 

Sinopsis :

Teman Di Barzakh ini membicarakan perihal roh dan arwah setelah diceraikan nyawa daripada jasad, peristiwa yang bakal berlaku sebagaimana yang tercatat dalam hadis dan atsar para Sahabat r.anhum. Juga menjelaskan perkaitan antara roh orang yang telah mati dengan roh orang yang masih hidup. Semuanya untuk kita hayati agar lebih bersedia dalam menyiapkan bekal ke ‘sana’. Suasana di alam barzakh tidak sama dengan suasana Padang Mahsyar. Kematian setiap orang adalah berbeza-beza, dari segi keadaan dan waktunya. Nabi Adam a.s. wafat beribu tahun dahulu. Nabi Muhammad SAW pula wafat lebih 1400 tahun yang lalu. Kemudian kita pula, tidak tahu bila ajal datang menjengah.


Akan tetapi, apabila tibanya saat menuju ke Padang Mahsyar, kita akan dibangkitkan serentak semuanya bersama-sama. Disebabkan dibangkitkan serentak kesemuanya inilah yang menyebabkan alam di Padang Mahsyar itu lebih besar berbanding alam barzakh. Alam barzakh itu sendiri lebih besar daripada alam dunia, tetapi suasana di Padang Mahsyar itu lebih besar daripada alam barzakh. Bagaimana kita ingin bayangkan? Hadis-hadis Nabi SAW yang menyebutkan perihal Padang Mahsyar ini lebih banyak jika dibandingkan hadis-hadis yang menceritakan perihal alam barzakh. Hadis-hadis yang berkaitan dunia pula, banyak yang menunjuk kita bagaimana untuk hidup di dunia supaya selamat di Padang Mahsyar.

7.Mau‘izhah Hasanah: Malam Pertama Di Barzakh

Mlm Pertama di Barzakh

Pengarang :  Ahmad Dasuki Abd Rani       

Imprint  :  Petaling Jaya :  Galeri Ilmu, 2016

Muka surat : 268 ms.

Sinopsis :

Pengakhiran bagi setiap kehidupan adalah kematian. Kematian yang Husnul Khatimah menjadi idaman setiap orang beriman. Namun begitu, hakikat akhir kehidupan tidak terhenti di situ. Liku-liku perjalanan yang bakal kita tempuhi setelah itu adalah lebih mencabar dan masih panjang.

Buku ini membicarakan tentang kehidupan selepas kematian yang jarang manusia mahu mengambil tahu tentangnya. Sedangkan alam barzakh itu, seandainya manusia tahu realitinya yang sebenar, pasti dia akan mengabaikan dunianya. Malah menumpukan seluruh hayat untuk mempersiapkan bekalan menghadapi alam barzakh. Membacanya bukan untuk menambah takut, tetapi menambah ilmu dan takwa supaya giat menyiapkan bekalan kerana kita semua pasti akan menghadapi malam pertama di barzakh.

8.Mau‘izhah Hasanah 3 : Khabar Dari Barzakh

Khabar dari Barzakh

Pengarang :  Ahmad Dasuku Abd. Rani     

Imprint  :  Petaling Jaya :  Galeri Ilmu, 2017

Muka surat : 209 ms

Sinopsis :

Mau‘izhah Hasanah 3: Khabar Dari Barzakh ini menyambung perbicaraan dalam buku sebelumnya iaitu Mau‘izhah Hasanah: Malam Pertama Di Barzakh dan Mau‘izhah Hasanah 2: Teman Di Barzakh.

Buku ketiga ini membawakan kisah mimpi-mimpi orang soleh yang bertemu dengan roh sahabat atau ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia. Roh-roh ini menyampaikan perkhabaran dari alam barzakh; seperti apa yang mereka perolehi daripada nikmat dan rahmat Allah SWT juga menyampaikan pesan nasihat buat orang yang masih hidup. Malah ada roh yang dapat menyampaikan wasiat mereka melalui mimpi. Kisah mimpi mereka ini disampaikan demi satu tujuan; agar kita mengambil pengajaran dan sentiasa mempersiapkan diri menuju ke barzakh. 

9.Forensik Kewangan

Forensik Kewangan

Pengarang :  Zaidi Ismail         

Imprint  :  Petaling Jaya :  Galeri Ilmu, 2019

Muka surat :  203 ms

Sinopsis :

Saya tidak percaya kepada teori yang mengatakan kalau hendak hidup senang haruslah bekerja kuat siang dan malam. Bagi saya cara ini hanya membazirkan masa demi mencari wang. Sepatutnya wang yang mencari kita, bukan kita yang mencari wang. Saya tidak mahu menjadi hamba wang, cukup sekadar bebas daripada hutang, mempunyai harta dan cukup makan pakai. Yang paling penting hidup tenang dan tenteram. 

Biar siapa pun anda, ilmu dan kemahiran kewangan tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan anda. Sedar atau tidak, semua orang memerlukan ilmu dan kemahiran tersebut. Bagi mewujudkan masyarakat yang kuat dari segi kewangan, ia bermula daripada individu. Jadi kita perlu belajar mengurus kewangan peribadi sebelum menguatkan masyarakat. Apabila individu kuat, maka keluarga akan kuat dan akhirnya masyarakat juga akan menjadi kuat. Bagi yang masih bujang, inilah masa anda. Jangan persiakan masa dan usia muda yang ada, ambillah peluang ini sebelum mempunyai bermacam-macam bentuk beban. 

Jika saya seorang yang dilahirkan miskin, dibesarkan di perkampungan setinggan dapat merantau lebih 16 buah negara, memiliki pelbagai jenis perniagaan termasuklah mengurus lebih 60 buah hartanah dan menjadi jutawan seawal usia 32 tahun tanpa diploma mahupun ijazah, maka sesiapa pun mampu melakukan lebih baik daripada saya. Setiap daripada kita mempunyai lima modal iaitu, masa, tenaga, pengetahuan, emosi dan wang. Maka, gunakanlah kesemua modal ini untuk menjadikan impian anda satu kenyataan.

10.Kenal untuk cinta : Biografi lengkap Rasullulah

Biografi Rasullulah

Pengarang : Sayyad Muhammad Bin Alawi Al-Maliki           

Imprint  :  Petaling Jaya :  Galeri Ilmu,  2019

Muka surat :  235 ms 

Sinopsis :

KENAL UNTUK CINTA: BIOGRAFI LENGKAP RASULULLAH SAW yang diterjemah dan dikemaskini daripada karya asal Tarikh al-Hawadits wa al-Ahwal an-Nabawiyyah.

Lengkap berwarna berserta gambar-gambar yang menarik bagi mengetengahkan serba-serbi maklumat tentang keperibadian dan kronologi perjalanan kehidupan Baginda Rasulullah SAW. Pembaca akan dapat 'melihat' kehidupan sebenar Baginda sejak awal kelahiran sehingga kewafatannya. Buku ini penting agar setiap pembaca dapat mengenali lebih rapat dengan Baginda dan menambah rasa cinta terhadapnya.

Buku ini padat dengan ilmu mengenai Baginda s.a.w yang adakalanya jarang kita dengar dan dapati dalam kitab-kitab Sirah. Pada asalnya, pengarang Prof. Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki menulis kitab ini kerana memperhatikan bahawa kitab-kitab sirah mengenai Nabi Muhammad s.a.w semakin kurangnya kesungguhan karya-karya tersebut ditelaah. Dalam pengenalan beliau mengenai kitab ini, beliau mengumpulkan maklumat peribadi Nabi Muhammad s.a.w secara ringkasan agar umat Islam tidak terlepas peluang mengenal Rasul Junjungan s.a.w mereka.

“Termasuk di dalam sesuatu yang paling perlu dan paling wajar untuk diketahui dan diberitahu tentangnya dan ditumpukan usaha padanya ialah perbicaraan tentang ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kenabian dan sifat-sifat yang berkaitan dengan Nabi Muhammad s.a.w.”